Friday, September 2, 2011

Merdeka 54 Tahun : Transformasi Minda


1.Merdeka dari segi bahasanya ialah kebebasan.Kebebasan dari cengkaman penjajahan secara fizikalnya. Peristiwa pada 31 Ogos 1957 iaitu 54 tahun dahulu yang penuh perit getirnya telah membuka lembaran baru buat Tanah Melayu ketika itu.
2.Bagi memekar semula gerakan dan naluri kemerdekaan pada tahun ini.Aspek kemerdekaan minda kita perlu diutamakan. Transformasi dari minda terpenjara kepada minda yang bebas. Transformasi dari minda tawanan kepada minda yang punyai jati diri untuk membina bangsa Malaysia.
3.Pemikiran yang terjajah atau terpenjara perlu ditransformasikan kepada minda yang lebih bebas, dinamik, kreatif dan bernilai sejagat tetapi hati nalurinya berpaksikan kepada sebuah negara luhur Malaysia yang tercinta ini.
4.Minda terpenjara akan melahirkan “krisis minda”( Dato’ Dr Sidek fadzil ). Terdapat orang yang merdeka dari segi fizikalnya, dia bebas bergerak, melakukan pelbagai aktiviti yang akan menjana kreativiti dalam kehidupan ini, tetapi malangnya kerana mindanya terpenjara, alam yang luas ini dirasakan sempit.
5.Bagaimana seseorang itu boleh terpenjara mindanya sedangkan dia mempunyai segala kebebasan untuk berfikir, membuat rumusan dan kesimpulan? Inilah persoalannya. (Prof Dr. Mohd Yusof Hj Othman,2002 )
6.Bagaimana pula orang yang mempunyai pendidikan yang tinggi atau pemerintah tetapi mindnya masih tertutup.Seperti pandangan S.H Alatas ,mereka juga merupakan penderitaan penyakit minda yang tertutup.” A Captive mind is the product of higher insititutions of lerning,either at home or abroad whose way of thinking is dominated by Western thought in an imitative and uncritical manner ”.( The Captive Mind - Minda Tertawan ).
7.Orang yang mindanya terpenjara atau terjajah sebenarnya tidak mampu untuk memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakatnya, negerinya atau negaranya. Apa lagi jika ingin mempertahankan Malaysia tercinta ini.
8.Oleh itu dengan penuh kesedaran dan keinsafan kita perlu membebaskan minda kita dari dijajah dan ditawan. Supaya kita tidak hanya menjadi pemerhati sepi atau penumpang kepada agenda pembangunan dan kedaulatan negara Malaysia yang tercinta ini.
9.Kenapa minda atau fikiran yang diutamakan?. Kerana disitulah pusat segala tindakan manusia yang dizahirkan dengan perbuatan. Jika minda kita berkata “ aku boleh ! , yakin boleh ! ” maka memang kita boleh lakukan.
10.Oleh sebab itu tiada lagi penjajahan sesebuah negara seperti dahulu yang melibatkan kemusnahan ( kecuali kes-kes yang ada faktor-faktor lain seperti di Palestin,Iraq dan Afghanistan ). Menurut Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam satu seminarnya “ ..yang tercermin dalam perang penjajahan yang terjadi di negeri-negeri kaum muslimin, bala yang tidak dapat dilawan, bahaya perang ini bukan dalam menakluki bumi, akan tetapi bahayanya dalam menakluki akal,jiwa, perasaan, kehidupan sosial dan akhlak” . Penjajahan bentuk baru yang dibawa oleh barat atau dari mana juga sumbernya yang perlu kita tangani sewajarnya.
11.Penjajahan minda menjadi satu cabaran teras dalam memastikan kelangsungan kemerdekaan negara kita. Kita perlu membangun dan berkembang dengan hati naluri bangsa Malaysia yang utuh. Jika tidak usia kemerdekaan yang baru separuh abad ini akan musnah begitu sahaja. Malang dan sedihnya jika ia dimusnahkan oleh tangan-tangan kita sendiri.
12.Dalam membebaskan diri kita dari penjajahan gaya baru ini, jati diri kita mesti kuat dan mampan. Kita perlu menerima dan menolak sesuatu itu tanpa fanatik kepada mana-mana sumber yang ada. Kita perlu berlapang dada, mempunyai kekuatan daya tahan diri fizikal dan spiritual untuk menerima yang baik walau bukan dari kita, menolak apa-apa yang buruk walaupun dari diri kita sendiri. Kita bina kekuatan dari kelemahan yang ada. Segala yang datang walau pun mempunyai nilai sejagat belum tentu ia sesuai untuk kita. Segalanya perlu kita perhalusi. Segalanya perlu kita timbang-tarakan sebaik mungkin.
13.Menilai, memperhalusi dan membuat pertimbangan juga perlu ada cara dan metodnya, segalanya ini memerlukan ilmu. Kata Al Ghazaliy tentang minda atau akal “ …di situ letaknya perbendaharaan ilmu dan tersimpanya khazanah hikmah. Dengan bertambahnya ilmu , bertambahlah kekuatannya dan bertambah luaslah daerah jangkauannya”.
14.Oleh itu rakyat Malaysia perlu mempunyai ilmu yang sewajarnya, kerana hakikat di akhir ( walau tidak mungkin ada akhirnya ) setiap pencarian ilmu-ilmu yang pelbagai inilah akan kita temui kebenaran. Kebenaran sahaja mampu menolak kebatilan. Kebenaran sahaja yang mampu membebaskan minda yang tertawan. Kebenaran sahaja yang akan menjadikan negara kita akan terus bebas dan merdeka. Carilah ilmu dan amalkannya. Ini menjadikan pengisian kemerdekaan Malaysia ke 54 tahun pada 2011 lebih bermakna. Selamat Hari Raya dan Salam Kemerdekan.

Friday, August 28, 2009

Fisiologi : Ke Arah Kecemerlangan ( Fisioterapi kepada kejayaan )

Jalan untuk berjaya bukan mudah.Sebuah kejayaan sebenarnya memerlukan apa sahaja disekeliling kita menjadi pemangkin kepada kejayaan. Satu element yang jarang kita sentuh atau diberi perhatian ialah dari aspek fisiologi tubuh ke arah kejayaan. Fisiologi melibatkan kuasa atau tenaga dan yakinlah bahawa fisiologi yang berkuasa akan menyumbang kepada diri yang “ pintar akal ”. ( pintar akal bermaksud minda berada pada tahap optimum untuk memperoses data yang telah disimpan dalam bentuk jangka pendek atau jangka panjang )

Tiada tindakan yang paling berkuasa tanpa fisiologi yang berkuasa. Apabila fisiologi anda lemah, keadaan tenaga positif juga merosot, jika fisiologi anda cergas dan bertambah hebat, perasaan anda juga turut menjadi sedemikian. Fisiologi boleh membawa maksud cabang ilmu sains atau proses dan fungsi keseluruhan atau sebahagian daripada organisma. Ia sering dikaitkan sebagai sains tingkah laku manusia terhadap rangsangan. Ia juga sering berkaitan dengan ilmu anatomi. Untuk memahami fisiologi , kita perlu menguasai anatomi tubuh manusia terlebih dahulu.

Merubah fisiologi yang lemah kepada yang hebat dari segi cara penafasan, suara, kedudukan tubuh badan, riak muka, kualiti pergerakan, pandangan mata dan lain-lain lagi akan menyumbang kepada pencapaian yang luar biasa kepada diri kita. Ubahlah fisiologi anda nescaya anda akan merubah keadaan anda dari kelam atau gelap kepada “ pintar akal ”

Sebagai contoh , cuba kita lihat orang sedang bersedih. Kita beranggapan kesedihan adalah sebagai satu daripada keadaan fikiran tetapi ia mempunyai fisiologi yang sangat jelas dan dapat dikenal pasti. Orang yang bersedih kerap berjalan dengan memandang ke bawah, bercakap pada diri sendiri tentang semua perkara yang membuat dirinya sedih, menjatuhkan bahu, bernafas dengan lemah dan membuat semua perkara yang membuat mereka dalam fisiologi sedih. Cuba kita ubah keadaan fisiologi sedih ini.Cuba kita berdiri tegak, tolakkan bahu ke belakang, bernafas dengan mendalam, mendongak ke atas dan sekiranya anda meletkan diri anda dalam setuasi pintar akal maka anda tidak akan berasa sedih. Begitu juga jika seseorang itu sedang menangis. Cuba duduk secara selesa,dongak ke atas , tolak bahu ke belakang dan bernafas dengan mendalam, dengan serta merta perasaan kita berubah. Apa yang berlaku daripada contoh ini sebenarnya ialah merubah fisiologinya daripada pergerakan ( kinestetik ) kepada penglihatan.


Tugasan Anda
Bagaimana dengan fisiologi tubuh anda semasa anda tidak boleh menjawab soalan dalam peperiksaan?

Bagaimana dengan otot muka,tangan,bahagian dada,belakang dan perut anda?
Bagaimana dengan pernafasan anda?
Bagaimana dengan sel tubuh anda ketika anda tertekan?
Bagaimana kedudukan kepala anda ketika mencari jawapan yang tidak anda temui?
Bagaimana dengan denyutan jantung anda?
Bagaimana dengan pandangan mata anda ?
Apa yang anda katakan pada diri ketika itu ?
Bagimana anda duduk ketika itu?
Apa yang anda lakukan telah meletakan anda berada di dalam fisiologi yang sangat negatif dan tidak pintar akal.Jangankan berfikir, hendak bernafas pun anda akan menghadapi kesukaran.Sedangkan pernafasan ialah satu mekanisma membawa oksigen masuk ke otak untuk berfikir.Untuk bernafas pun perlukan mekanisma fisiologi yang sangat jelas , malangnya tubuh anda tidak berada dalam keadaan yang membenarkan pernafasan dalaman berlaku. Akhirnya anda gagal berfikir dengan sepatutnya.

UBAH FISIOLOGI TUBUH ANDA, ubah cara duduk anda,ubah cara anda bernafas dan ubah kata-kata kendiri anda. Saya yakin dan percaya anda akan dapat menyelesaikan masalah anda.Anda pasti terperanjat dengan kemampuan diri anda...
Fisiologi yang cemerlang merupakan satu Kuasa Tanpa Batasan.
Selamat mencuba...